Ahad, 28 Mac 2021

Masa Lapang Selepas SPM Nak Buat Apa?


Selepas SPM, murid Lepasan selalunya berkelapangan. Bagi sesetengah pelajar  mereka akan mula merancang aktiviti yang akan dibuat. Manakala bagi sesetengah org pula, mereka tidak merancang apa-apa pun dah berharap untuk relaks sahaja dalam seberapa lama masa yang ada. Terutama sekali sementara keputusan SPM keluar. Mungkin itulah honeymoon bagi mereka sebelum melaksanakan tanggungjawab yang seterusnya. Namun begitu, para pelajar juga boleh mempertimbangkan beberapa perkara berikut sebagai pengisian. 


        Antaranya termasuklah mengambil kursus jangka pendek seperti belajar komputer, belajar kursus asas Microsoft Office seperti Microsoft Word, Microsoft Excel, Microsoft PowerPoint, Microsoft Publisher serta kursus-kursus untuk membuat editing seperti Photoshop dan sebagainya. Kursus ini boleh menjadi nilai tambah kepada pelajar yang akan menyambung pelajaran di kolej-kolej dan juga Universiti. Selepas ini para pelajar juga tidak akan terkial-kial apabila menyambung pelajaran ke IPTA kerana sudahpun memiliki beberapa kemahiran yang sangat diperlukan oleh seorang mahasiswa iaitu kemahiran asas komputer seperti yang dinyatakan di atas. Selain itu pelajar juga boleh mengikuti kursus kursus jangka pendek yang dianjurkan mana-mana pusat pengajian tempatan atau Pusat Komuniti seperti kursus jahitan pakaian, kursus memasak, kursus menggunting rambut, kursus membaiki motosikal serta mendaftar kelas memandu bagi mendapatkan lesen memandu. 


        Mempunyai lesen memandu juga adalah satu perkara yang sangat penting kepada seorang pelajar berdasarkan pengalaman kaunselor sendiri. Jika tidak mempunyai kemahiran membawa kenderaan seperti motosikal, kereta atau setidak-tidaknya pandai mengayuh basikal akan menyukarkan kehidupan anda sebagai seorang pelajar semasa berada di kampus kolej atau universiti. Kemahiran memandu sangat diperlukan apabila untuk mahasiswa perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Hal ini kerana, kampus pengajian selalunya sangat besar dan sangat memenatkan untuk bergerak secara berjalan kaki. Malahan apabila pelajar tinggal di rumah sewa dan jauh pula daripada tempat pengajian, ia akan menambah kesukaran pelajar untuk bergerak. Kenderaan juga diperlukan apabila pelajar terpaksa membuat kerja-kerja lapangan yang diberikan oleh para pensyarah. Sungguhpun begitu, pelajar juga boleh mempertimbangkan untuk menggunakan kenderaan awam, namun, penggunaan kenderaan awam adalah terhad. Begitu juga dengan bas yang disediakan oleh pihak universiti. Bas di universiti hanya melalui beberapa lokasi atau kawasan tertentu berbanding dengan tuntutan tugasan yang diberikan oleh pensyarah yang memerlukan pelajar bergerak lebih jauh. Justeru saya sangat menggalakkan pelajar untuk mendaftar masuk ke kelas memandu dan belajar memandu.


       Seterusnya saya juga mencadangkan supaya para pelajar mengisi masa yang ada dengan mencari pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan pelajar. Mengapa saya menggalakkan pelajar bekerja adalah kerana bekerja boleh memberikan pengalaman yang sangat banyak kepada pelajar. Para pelajar secara tidak langsung akan bersosial dengan ramai orang, belajar berkomunikasi, belajar mengurus emosi semasa bekerja dan juga menjadikan pelajar sebagai tenaga kerja yang kurang mahir namun mempunyai pengalaman. Pengalaman tersebut boleh di adaptasikan kepada pembelajaran murid semasa di IPT nanti. Apabila murid bekerja, murid juga akan dapat mengumpul sedikit wang untuk menampung pendaftaran ataupun pembelajaran semasa di pusat pengajian nanti kerana apabila pelajar mendaftar masuk ke pusat pengajian mereka tidak akan terus sahaja memperoleh pinjaman ataupun biasiswa yang dipohon. Permohonan untuk mendapatkan pinjaman ataupun biasiswa selalunya mengambil masa. Justeru murid boleh bersedia dengan mengumpul sedikit wang supaya dapat berbelanja untuk makan dan minum terutamanya semasa disemester satu. Lebih-lebih lagi apabila pelajar mempunyai latar belakang keluarga yang tidak mempunyai kewangan yang cukup atau bermasalah dari sudut kewangan. Oleh itu saya sangat mencadangkan pelajar supaya mencuba untuk bekerja dan mengumpulkan wang sendiri untuk menampung kos  pendaftaran pengajian nanti, menampung kos sara hidup semester satu, membeli peralatan seperti laptop dan juga printer atau membeli peralatan sebagai persediaan untuk masuk ke pusat pengajian. 


       Namun begitu, jika murid berasal daripada kalangan keluarga yang berada dan berhasrat tidak mahu untuk bekerja, saya juga menyarankan supaya untuk memperbanyakkan membaca buku ataupun membaca bahan-bahan ilmiah secara online. Masa yang ada usahlah dibazirkan tanpa ada perkara yang bermanfaat dilakukan. Apabila kita banyak membaca, pengetahuan kita juga akan bertambah dan pembacaan akan membantu pemikiran kita untuk sentiasa aktif. Sesungguhnya membaca itu jabatan ilmu. 0rang yang membaca akan bertambah cerdas fikirannya dan mempunyai pengetahuan yang luas. 


        Oleh kerana pelajar tidak lagi terikat dengan persekolahan atau komitmen tertentu, pelajar juga boleh mencari masa ataupun cuba untuk belajar ilmu agama seperti memantapkan ilmu fardu Ain atau belajar Al-Quran khususnya untuk memantapkan penguasaan tajwid. Bukan apa, cikgu bimbang jika sekiranya pelajar sudah menyambung pengajian nanti atau sudah mula bekerja pelajar sudah tidak kisah lagi untuk belajar mengenai ilmu agama ataupun Al-Quran. Jadi, ambillah masa yang ada ini untuk menambahkan ilmu. 


      Seterusnya, cikgu juga menggalakkan para pelajar untuk turut sama aktif di rumah dan membantu ibu bapa membuat kerja-kerja rumah serta meringankan tugas-tugas mereka yang selama ini mereka buat untuk pelajar. Jika selama ini anda sangat sibuk dengan belajar di sekolah dan fokus pada SPM, maka sekarang adalah masa untuk anda meluangkan masa bersama dengan keluarga anda membantu membuat kerja-kerja rumah yang ringan di samping menyihatkan tubuh badan anda. Selain itu, ia turut mengelakkan anda daripada terikat dengan penggunaan gajet atau permainan video semata-mata. Ingatlah para pelajar sekalian, janganlah menjadikan ibu bapa anda sebagai orang gaji untuk anda. Sebaik sahaja bangun tidur, anda terus sahaja bangkit untuk makan apa yang dihidangkan, pakai apa yang telah dibasuh dan disusun oleh ibu anda di rumah dan menghulurkan tangan untuk minta duit. Pada saya itu semua adalah sangat tidak wajar kerana ibu bapa kita sebahagian besarnya juga turut bekerja mencari rezeki atau nafkah, manakala ibu kita pula terpaksa menyambung tugasan di rumah untuk menguruskan rumahtangga. Jadi kasihanilah mereka, usah dibebankan ibu bapa dengan hal-hal yang tidak sepatutnya. Jadilah anak yang menyejukkan hati ibu bapa. menjadi anak soleh itu tidak semestinya berjaya masuk ke universiti atau kolej namun mempunyai adab sebagai seorang anak yang baik serta prihatin dengan kedua ibu bapa juga menunjukkan anda anak yang baik den soleh. Boleh jadi anda adalah anak soleh kepada kedua ibu bapa anda dengan akhlak dan sahsiah anda. 


       Pilihan yang tidak cikgu galakkan pelajar untuk buat adalah mengganggur dan tidak melakukan apa-apa. Menganggur tidak akan mendatangkan hasil yang bermanfaat kepada anda. Anda akan banyak membuang masa, dan boleh jadi anda akan kehilangan semangat untuk meneruskan pengajian suatu masa nanti kerana terlalu banyak masa yang anda telah buang dan terlalu lapang di dalam hidup anda. Saya juga bimbang jika sekiranya anda akan menjadi semakin malas, tidak mahu berusaha serta tidak mahu mengurusi hidup anda sendiri. Daripada menganggur, lebih baiklah anda mendirikan perkahwinan dengan pasangan yang baik juga dan pikullah tanggungjawab untuk meneruskan hidup anda tanpa perlu menyusahkan kedua ibu bapa anda atau ahli keluarga andašŸ˜


Justeru, anak-anak sekalian, pada pesanan cikgu itu ambillah yang mana perlu, yang sesuai dengan kehidupan kamu dan keperluan kamu. Manfaatkanlah masa yang diberi oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada kita supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi. Sebagai seorang muslim, kita percaya hidup di dunia ini adalah tempat untuk kita berusaha sebaik mungkin sama ada untuk menuntut ilmu mencari rezeki ataupun untuk beramal ibadat dan kita semua akan berehat apabila tiba di syurga nanti in shaa Allah.


Sesungguhnya apa yang baik itu datangnya daripada Allah Taala dan yang lemah itu datangnya dari kekurangan diri saya sendiri.


Pesanan dari seorang kaunselor


Sekian terima kasih.


#whatsnext 

#nakbuatapaSementaratungguresultSPM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PROGRAM ANAK YATIM PERMATA HATI (PERHATI) 2022

Sebelum hari raya baru-baru ini, sempat bertemu mata dengan sebahagian anak-anak yatim Permata Hati (PERHATI). Sambil bercerita tentang prog...